Kita berjumpa dan bersua,
Mungkin juga di sini, Tempat kita berkenal-kenal, Lalu jatuh cinta.
-Anuar.
Dilipat kemas tulisan tersebut lalu dimasukkan ke dalam sampul kecil. Dilekatkan gam dan kemudiannya ditelangkupkan semula untuk ditulis kepada siapa yang dituju. Buat Nurul, bacalah dengan isi hatimu.
Anuar memasukkan sampul tersebut di beg sekolahnya. Zip paling hadapan. Kemudian memakai kasut dan berlalu pergi menuju ke sekolah. Beliau tekad untuk memberi sampul itu sendiri. Sama ada Nurul suka atau tidak, dia akan beranikan diri untuk serahkan sampul itu ke tangan Nurul sendiri. Tidak lagi menggunakan posmen tidak bertauliah.
Nurul bersahaja ke kelas seperti biasa. Begnya disandang di belakang, kemudian ada dua tiga buku yang dipeluknya.
Berjalan menuju ke kelas seperti setiap hari, tanpa ada apa-apa yang difikirkan akan berlaku. Kelas pun berjalan seperti biasa. Waktu rehat jam 10.30 pagi pun seperti biasa. Mengambil mi goreng kemudian membayar dan mengambil air sirap yang menjadi minuman asasi bertahun-tahun lamanya.
Loceng berbunyi. Waktu pulang sudah bertanda. Nurul mengemas semua buku-buku. Dimasukkan ke dalam beg. Bekas alat tulis juga disusun rapi kemudiannya dimasukkan juga ke dalam beg yang sama. Lantas dipakai beg tersebut dan berjalan melihat Jaja dan La sudah pun di luar kelas menantinya.
Nurul pun keluar, lantas tangannya direntap. Dan dia cepat menarik laju tangannya.
Apa ni Tak malu ke pegang-pegang tangan orang ha Nurul menyinga. Anuar senyum sahaja.
Bergurau je pun. Janganlah marah sangat. Hilang sweet tu. Anuar sambung ketawa sekali lagi. Kawan-kawannya memandang dari jauh dan memberi isyarat sesuatu.
Nah, untuk kau. Anuar menghulur sampul. Belum sempat Nurul menyambutnya sampul itu dirampas Cikgu Idris. Lalu Nurul dan Anuar panik. Jaja dan La juga ikut panik. Cemas.
Kamu! Kamu! Datang bilik saya sekarang!
Tiba-tiba pandangan Nurul terasa gelap. Jaja sempat menyambut. Anuar bertambah panik. Cikgu Idris membiarkan sahaja itu berlaku dan berjalan laju menuju biliknya.
Nurul, Nurul, tak pa kami ada. Kami akan bantu kau. Jom, nanti lagi marah Cikgu Idris ke kau, jomlah. Nurul sudah menangis teresak-esak. Perkara yang paling beliau risaukan sudah pun berlaku. Rakan-rakan Anuar hilang begitu sahaja.
Di dalam Bilik Guru Disiplin:
Cikgu Idris: Apa ini Anuar
Anuar: Tak ada apa cikgu, biasalah budak-budak membesar. (paaangggg!! Penampar hinggap di pipi Anuar). Anuar tergerak ke tepi. Memang pipinya terus bertukar merah dan perit, namun cuba bersikap tenang memandang lantai. Cikgu Idris: Dah berapa lama bercinta begini
Nurul: Tak cikgu, tak bercinta pun. Dia yang selalu beri nota, saya akan koyakkan sahaja tak suka. Tak pernah simpan pun. Saya betul-betul tak suka..
Cikgu Idris: Diam! Jangan menipu! Duduk sini sampai aku telefon ibu bapa kau.
Jaja: Cikgu, Nurul cakap benda betul. Dia tak pernah layan. Anuar yang selalu ganggu dia.
Cikgu Idris: Kau siapa Guru Besar nak ajar aku Aku pantang bab-bab bercinta dalam sekolah. Kalau betul selama ini budak lelaki ini hantar surat kepada kau, kenapa tak pernah beri kepada cikgu Laporkan kau kena kacau Ada
Jaja, La dan Nurul menggeleng serentak.
Cikgu Idris: Buka kasut!
Anuar: Piaaaaaap paaaaaap!! Dua libas rotan hinggap di tapak kakinya.
Nurul juga menerima perkara yang sama. Lalu diarah pulang ke asrama. Nurul tak henti-henti menangis. Di Aspuri Ustazah Nora sudah menunggu. Nurul dapat bercerita kepada Ustazah dan Ustazah memahami.
Cikgu Idris sudah menelefon ke dua-dua ibu bapa dan ingin berjumpa serentak petang ini juga. Nurul seakan demam. Berbaring dengan debarannya yang cukup memuncak. Terasa hingga de dadanya. Baring ke kanan, salah. Pusing ke kiri juga salah. Air mata tak henti-henti jatuh di pipinya. Sekejap-sekejap terdengar suara kecil Nurul merengek dan merintih kenapalah perkara begitu berlaku kepada dirinya. Petang itu, datanglah semua berkereta ke asrama dan berjumpa beramai-ramai. Ayah Nurul menghulur salam kepada Cikgu Idris, Ayah Anuar juga menyambut dengan elok. Masing-masing berbincang tentang kenakalan anak masing-masing. Paling disyukuri ialah tidak ada pergaduhan yang berlaku. Saling mengakui ketidakbijakan anak masing-masing. Namun emak Nurul sudah tidak sedap hati untuk membiarkan Nurul meneruskan bersekolah di situ, digeleng kepalanya berkali-kali. Nurul akur sahaja dimarahi dan ditentangi perangainya itu. Walau beliau langsung tidak pernah melayan perkara sebegitu rupa. Tak pernah.
Ayah Nurul mengambil keputusan drastik untuk menukarkannya ke sekolah berdekatan. Kemungkinan terus duduk di Kuala Lumpur dan ibunya juga berpindah terus ke sana. Nurul tidak menjawab apa-apa. Jaja dan La sudah mula menangis. Anuar tersentak. Terdiam kaku kerana tidak menyangka akan jadi begitu besar hingga perlu ditukarkan sekolah.
Tanggal 8hb Ogos, Nurul sudah pun mengemas semua barang-barangnya. Sudah lengkap siap dengan baldi dan penyangkut baju. Semuanya sudah diikat kemas dan kemudian dibawa turun ke tingkat bawah. Jaja dan La bantu mengangkat semuanya. Lemah longlai mereka menuruni anak tangga. Kemudian duduk di pangkin yang ada. Yang biasa digunakan oleh ibu bapa yang datang menziarahi anak masing-masing di hujung minggu.
Nurul berjalan perlahan dan mengetuk pintu bilik Ustazah Nora. Kemudian dijemputnya masuk. Jaja dan La ikut dari belakang. Mereka duduk sekejap. Ustazah Nora menghadiahkan Nurul sesuatu. Dibungkus kemas dengan balutan berwarna kuning cair. Seakan buku. Ya mungkin itu sebuah buku. Nanti baca. Buat lega-lega sikit kepala, kata Ustazah.
Hidup ini beginilah. Kejap dekat sana. Kejap dekat sini. Tak apa. Benih yang baik, dicampak ke mana-mana pun akan jadi pokok yang bagus. Yang memberi teduh kepada orang yang kepanasan. Yang memberi buah kepada mereka yang kelaparan. Dan pastinya memberi perlindungan kepada makhluk kecil apabila ribut melanda. Ustazah Nora menyambung.
Nurul menyambutnya dan mengucap terima kasih. Lalu berpelukan dan mengucap salam paling akhir.
Jaja dan La ikut lagi. Hinggalah sampai ke tempat kereta. Ayah Nurul sudah pun sampai. Siap sudah membuka boot belakang untuk dimasukkan semua barang-barang.
Jaja dan La berpandangan sesama sendiri. Mereka memandang sepi bangunan Aspura. Seorang pun tidak kelihatan. Sunyi. Nurul menghulur salam kepada Jaja dan berganti kepada La. Mereka berpelukan dan menangis semahu-mahunya.
Ayah Nurul sudah pun duduk di tempat pemandu. Nurul membuka pintu kereta dan duduk di sebelahnya. Lalu bergerak meninggalkan sekolah yang disayangi itu perlahan-lahan.
Hilang begitu sahaja. Tinggallah kawan. Tinggallah teman.