BINTANG AL-NILAM DI LANGIT MENTAKAB - 9
Malam itu Leman duduk menghadap awan yang hitam pekat. Ada sedikit bintang-bintang kecil yang tersusun di sebalik pancaran cahaya bulan yang malu-malu di balik awan kepul.

Sekian lama, Cikgu Muhammad sering kali mengajar Leman untuk menulis. Diberi hadiah saban tahun buku-buku karya Buya Hamka kepada Leman supaya pandai dan reti menyusun kata-kata dalam setiap penulisan.

Jika anak orang lain tujuh tahun baru mahu diajar membaca, Leman tidak. Leman seawal empat tahun sudah diajar ABC dan Alif Ba Ta. Kemudian masuk sahaja umur enam tahun Leman sudah boleh membaca lancar surat khabar yang selalu membawa wadah entah betul entah tidak. Dan yang paling penting, beliau sudah mula boleh menulis nama sendiri.

Semasa Leman mahu memasuki sekolah, Leman sudah boleh menulis rangkap-rangkap pantun dan puisi. Walau tidak seindah orang-orang dewasa, ayat-ayat Leman tetap hidup dan disukai Cikgu Muhammad. Antaranya ialah;

Kita tidak pernah kaya dengan harta, cukup sekadar sebuah basikal untuk bawa aku ke sekolah. Lalu aku jadi pandai berkatakata, bermain huruf dan nombor, terus aku jadi kaya dengan ilmu dan bijak bermain dengan adab.

Leman mengambil kertas, dicapainya pensel kegemarannya. Lalu dia bangun dan duduk di kerusi yang sudah pun ada di meja belajar. Kemudian dipandangnya kembali bintang-bintang yang masih segar bercahaya di angkasa.

Terima kasih Tuhan kerana memilih aku

Jadi anak kepada seorang cikgu seorang ibu

Juga jadi kawan kepada Duli, Baha dan Nurul,

Juga berjiran kepada Mak Cik Cah, Mak Lang dan Tok Penghulu, Terima kasih Tuhan.

Jika malam ini kau hadiahkan bintang-bintang terang,

Aku mohon, malam esok kau hadiahkan aku bahagia bercahaya di dalam hati,

Jika pagi esok kau hadiahkan aku pertemuan bercinta sayang,

Aku mohon, hari-hari seterusnya kau elakkan aku diuji dengan benci-benci.

Terima kasih Tuhan kerana selalu beri bintang yang tidak dihitung-hitung,

Aku suka memandang tetapi jarang bersyukur,

Terima kasih Tuhan kerana beri bulan seindah-indah wajah Nurul,

Aku suka sekali bermimpi untuk terus bercita-cita sampai hujung.

Terima kasih Tuhan.

Leman, di bawah bintang-bintang yang tidak dihitung.