PERSEPSI TERBIAR SEPI - 9
SEINGAT saya, ada satu status yang naik di wall

Facebook mengenai perbualan laki-laki tentang perbezaan orang perempuan yang nak dijadikan isteri dengan perempuan yang hanya dijadikan permainan mereka. Penulisan itu agak panjang, tapi saya tertarik dengan cara penyampaiannya. Tengok pemilik akaun, namanya Nurul Hassanah.

Tergerak untuk meninjau tulisan-tulisannya yang lain, saya singgah ke akaun Facebook dia. Tersenyum melihat cara dia berfikir dan mengolah setiap satu peristiwa yang berlaku seputar kehidupannya sebagai iktibar buat khalayak. Satu per satu penulisannya saya renung dan hadam. Panjang tapi berkualiti. Tulisannya serasa hidup. Ada subjek yang menguasai para pembaca untuk mendapatkan kebaikan yang banyak selesai bacaan. Rasa mahu baca lagi dan lagi.

Sampailah satu ketika, Hassanah ada menulis tentang wujudnya permintaan daripada banyak orang untuk melihat wajahnya. Seperti biasa, tentu akan ada hujah yang teguh daripada dirinya sendiri yang disampaikan melalui penulisan untuk bacaan khalayak. Menjawab permintaan-permintaan tersebut bil hikmah. Berusaha memurnikan persepsi khalayak terhadap pegangannya. Ketika itulah baru saya terdetik, Eh, kenapa aku tak terasa nak tahu muka dia macam mana ek

Sungguh. Saya menempatkan Nurul Hassanah sebagai orang yang punyai sebab tersendiri untuk terus jadi penulis yang misteri. Sebab itulah saya tak pernah berkehendak untuk mengganggu prinsipnya. Biarkanlah dia. Dia punyai pendirian dan tiap apa yang dia berusaha teguhkan, tentu bersebab. Tak berkeinginan pun saya nak pergi terjah inbox, kemudian mesej bertanyakan tentang rupa parasnya. Untuk tujuan apa Hormatilah dia seadanya sebagaimana kita nak orang hormat prinsip kita. Saya lebih mahu melihat apa yang ditulis. Bukan siapa yang menulis.

Kadang-kadang ada penulisan Hassanah yang bertentangan dengan pandangan saya. Tapi selagi hal itu tak menjadi satu masalah untuk penerimaan orang lain, saya biarkan tulisannya itu berlalu begitu sahaja. Mungkin ada yang sependapat dan mereka rasa diraikan. Tetapi kalau sesuatu perkara yang ditulis itu boleh mengundang salah faham yang besar daripada para pembaca, saya pasti akan bergerak untuk menegur bil hikmah sebagai saudara Islamnya.

Saya rasa bertanggungjawab untuk hal itu.

Dua kali rasanya sebelum pertemuan yang hebat ini, saya pernah menghantar mesej secara peribadi kepada dia. Menegur tentang wujudnya khilaf dalam penulisannya. Kedua-duanya dijawab oleh Hassanah. Tapi maklum balas daripadanya membuatkan saya meletakkan satu persepsi baru pada dia. Boleh tahan perangai degil budak ni. Ops... Sorry dear.

Waktu pertentangan pendapat itu, kami memang belum berkenal-kenal. Apatah lagi bertemu. Atau bermesra seperti sekarang. Tidak. Kami directly berbalas mesej tentang apa yang dibincangkan. Tentang apa yang saya tegur untuk diperbaiki. Tetapi pertentangan tidak menghalang kami untuk saling menunjukkan sifat seorang Muslim. Segala perkataan dijaga. Berbalas pada kadar yang perlu. Bil hikmah.

Saya sendiri jelas, konsep memberi dan menerima itu bukan dengan paksaan. Meraikan bukan bermaksud wajib menerima. Menyentuh bukan untuk rasa dipandang. Memperbaiki sesuatu yang salah bukan tujuannya merasakan diri adalah yang paling benar. Biarkan penerimaan berjalan dengan sendirinya. Diterima dengan hati yang lapang seikhlasnya oleh orang yang kita tuju.

Banyak perkara tak terjawab oleh ilmu. Tapi berjawab oleh waktu. Itu kata-kata yang saya peroleh daripada mesej perkongsian pelajar pesantren di Pulau Batam, Indonesia. Benarlah. Demikian yang terjadi dalam pertemuan saya dan Hassanah. Siapa sangka Tanpa keinginan mengambil tahu soal figura, pada akhirnya terjalin ukhuwah yang cukup manis.

Pertemuan bermula dengan perjanjian ringkas antara kami. Hassanah up status untuk habiskan masa terluangnya bermusafir di Semenanjung Malaysia. Dia mencari destinasi dan sesiapa yang sudi meluangkan masa dengannya. Waktu itulah saya tergerak hati untuk pelawa Hassanah kenal-kenal dunia penulisan saya. Bertemu dengan orang-orang yang seperjuangan dalam dunia penulisan bercetak. Pergi ke tempattempat yang menjadi kegemaran saya mendapatkan ilham untuk menghasilkan karya. Berkongsi cara saya melihat masyarakat.

Seperti biasa, directly inbox. Hassanah balas. Bincang di mana, bila dan bagaimana. Setuju. Saya tak berfikir banyak tentang bagaimana Hassanah boleh bersetuju dengan pelawaan saya. Semua itu kerja Tuhan. Pergerakan hati semua kerja Allah. Tanggungjawab saya adalah menjadi saluran untuk menunjukkan betapa baiknya Dia mencipta kehidupan. Menjadi qudwah hassanah buat ummah. Sebaik-baik teladan.

Memberi layanan terbaik kepada tetamu adalah antara prinsip diri saya yang terpenting. Meraikan tetamu adalah suruhan Allah dan sunah Baginda Muhammad s.a.w. Saya berusaha memperjuangkan akhlak Baginda dalam kehidupan sekadar yang saya mampu. Hasrat bertemu dengan Hassanah bukan sebab nak tahu, Siapa Nurul Hassanah, tapi saya mahu dia mendapatkan banyak manfaat dalam sebuah pencarian. Biarkan tiap apa yang saya hulurkan nanti menjadi kepuasan baginya.

Bermulalah fasa perkenalan kami secara realiti. Kali pertama bertemu, adalah semasa di Stesen Komuter UKM. Saya tunggu dia di sana. Menyambut ketibaannya sebagai tetamu. Bila dia sampai, saya menyambutnya ramah. Sedang bersalaman, interaksi awal Hassanah pada saya, Subhanallah... comelnya! Eee... comelnya Mai.

Hahaha. Sorry again, dear. Sebab sengaja tulis dialog Ana itu dalam buku ini. Sebab lepas kita sudah sebati dan serasi, macam tak dapat lagi pujian tulus mulus ala-ala skema macam itu. Kan Hahaha.

Pertemuan yang pertama kali hanya memerlukan waktu yang terlalu sedikit untuk kami saling rasa selesa. Seharian bermusafir, kami berkongsi pelbagai perkara dan cerita. Terlalu banyak persamaan sampai kami bertanya sesama sendiri, Adakah kita saudara kembar yang terpisah

Cara kami berinteraksi semakin akrab. Pertemuan yang seterusnya, kami mula menunjukkan perangai gila masing-masing. Pada akhirnya, persepsi yang pernah saya letakkan kepada Hassanah sebagai seorang yang boleh tahan degil sebenarnya serupa juga dengan diri saya. Lebih kurang sama dan kami suka melakukan tindakan yang agak nakal. Sukakan cabaran dan cukup lasak untuk bergerak ke sana sini.

Ada beberapa persepsi yang lainnya pun berakhir dengan perasaan cinta terhadap ukhuwah yang terjalin. Saling melindungi dan menguatkan. Bahkan kami mula saling memeriksa status penulisan satu sama lain. Mengambil berat macam adik-beradik. Siapa yang datang mengganggu antara kami, kami terus bertindak dengan cara yang sepatutnya. Saling menjaga. Saling mengukuhkan. Saling memudahkan. Saling menutup aib. Berusaha mengejar ithar dalam tingkat ukhuwah. Alhamdulillah.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,

Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil Jibrail, Sesungguhnya Allah mencintai si polan, maka cintailah ia. Jibrail pun mencintainya, lalu Jibrail menyeru penduduk langit, Sesungguhnya Allah mencintai si polan, maka cintailah ia. Maka penduduk langit mencintainya, kemudian ia mendapat penerimaan di dunia.

(HR al-Bukhari)

Persepsi akhirnya cinta. Inilah kisah yang saya pilih dalam sepanjang-panjang cerita suka duka perkenalan kami. Diringkaskan untuk tujuan memudahkan pembaca terbawa kepada pokok perbincangan, iaitu tentang meraikan pendapat. Dalam berhadapan situasi memberi dan menerima, belajarlah untuk berlapang hati. Persepsi akan berakhir dengan jawapan berbentuk hadiah daripada Allah. Sebuah hadiah bersifat cinta.