TRAGEDI TSUNAMI DAN GEMPA BUMI - 9
Tidak ramai daripada kita mengenali apa dia fenomena tsunami, sehinggalah ombak besar itu membawa bencana alam baru-baru ini. Tsunami hanyalah sebahagian daripada bencana alam. Terdapat banyak bencana alam tetapi empat kejadian besar ialah gempa bumi, letupan gunung berapi, banjir dan taufan.

Tsunami boleh terjadi akibat daripada gempa bumi, letupan gunung berapi atau gelungsuran yang berlaku di dasar laut. Mungkin gempa bumi dan gunung berapi tidak berlaku di negara kita tetapi kesannya dapat menimpa Malaysia sekiranya berlaku di negara jiran. Tetapi kita di Malaysia sejak awal lagi, kita telah diterapkan kefahaman bahawa kita bebas daripada bencana alam.

Apabila berlaku bencana kecil seperti tanah runtuh, selalu dianggap ia kejadian sekali sahaja atau kes terpencil. Namun fenomena gegaran yang semakin kerap berlaku di Negara ini di mana sejak tahun 1900 hingga 2003 iaitu sebanyak 37 gegaran telah dicatat.

Bagaimanapun rakyat Malaysia sepatutnya mengubah paradigma tersebut memandangkan sejak 10 tahun kebelakangan, beberapa kejadian tanah runtuh yang besar berlaku. Dari kejadian rebut di Pos Dipang, tanah runtuh di lebuh raya hinggalah kejadian ribut Greg di Keningau. Terbaru adalah tragedi negara dilanda ombak besar tsunami.

Pada masa ini hanya Jabatan Kaji Cuaca yang dipertanggungjawabkan berhubung bencana yang berlaku tetapi timbul masalah bagaimana jabatan berkenaan memanfaatkannya dan menyalurkan kepada orang ramai dengan pantas. Kelewatan boleh menyebabkan kita tidak bersedia mengambil tindakan susulan untuk mengurangkan kesan bencana.

Sebagai contoh berdasarkan rekod, gempa bumi yang menyebabkan tsunami ahad lepas, dikatakan berlaku kira-kira pukul 9 pagi dan ombak besar tersebut tiba tiga jam kemudian ke persisiran pantai barat Semenanjung Malaysia.

Ini memberi peluang kepada amaran awal disebarkan kepada penduduk yang berada di kawasan terdedah kepada ancaman.

Secara umum, apabila berlaku gempa bumi, ada tiga perkara akan berlaku iaitu:

i) Rekahan permukaan atau dalam istilah geologi dikenali sebagai sasaran. Ia berlaku di tempat kejadian atau juga dikenali sebagai pusat gempa.

Ia satu fenomena yang tidak boleh dihalang dan boleh menyebabkan bangunan runtuh sekiranya terdapat struktur di lokasi tersebut.

ii) Gegaran. Ia boleh merebak dan dirasai dalam lingkungan garis pusat sehingga beberapa ratus kilometer dari pusat gempa, tersebut.

Kadangkala gegaran boleh dirasai dalam lingkungan antara 200 dan 500 kilometer. Gegaran semakin kecil bagi kawasan semakin jauh tetapi kadangkala meruntuhkan struktur bangunan atau tanah kerana frekuensinya yang pantas.

Catatan saintis geologi menunjukkan bahawa tidak kurang 500,000 gagaran berlaku setiap tahun di seluruh dunia iaitu di kawasan Lingkaran Api Pasifik tetapi kebanyakan magnitudnya agak kecil dan tidak dapat dirasai.

iii) Tsunami. Berlaku kerana pelepasan tenaga daripada dua struktur yang bergeser iaitu kepingan lautan (batu di dasar laut) yang menjunam masuk ke kepingan benua atau daratan.

Gerakan kepingan batu lautan setebal kira-kira 30 kilometer yang menjunam masuk ini dihalang oleh kepingan benua tetapi apabila ia berjaya merempuh halangan tersebut, pelepasan tenaga berlaku. Tenaga yang dibebaskan ini memampatkan air laut menyebabkan berlakunya ombak besar.

Ombak besar ini dinamakan ombak kelautan kerana ia bukan berpunca daripada tiupan angin seperti lazimnya yang menghasilkan ombak di permukaan laut.

Berdasarkan rekod yang berlaku di Indonesia, ombak tsunami boleh mencapai ketinggian sehingga 35 meter. Ombak tsunami yang melanda negara baru-baru ini berpusat di lautan Hindi iaitu kepingan lautan (Hindi) menjunam masuk ke kepingan Sunda (Sumatera). Oleh kerana dihalang oleh Pulau Sumatera, Malaysia bernasib baik kerana kekuatan ombak diminimumkan oleh halangan pulau tersebut.

Fenomena kepingan lautan tersebut antara punca peta dunia berubah. Proses tersebut yang berlaku melibatkan hanya pergerakan kira-kira lapan milimiter setahun bagaimanapun mengubah kedudukan atau meneggelamkan pulau-pulau. Pergerakan ini berlaku kerana sifat semula jadi Bumi yang dinamik.

Satu ketika, benua kecil India terasing dengan selatan Asia tetapi apabila berlaku pergerakan kepingan bumi secara berterusan, India bercantum dengan Asia. Pergerakan berterusan ini menjadikan punca pembentukan Banjaran Himalaya dan gempa bumi.

Berdasarkan rekod, kira-kira 280 juta tahun dahulu, benua Afrika dan benua Amerika Selatan mungkin bercantum, manakala pulau Langkawi terletak berhampiran dengan Australia. Sementara itu, berdasarkan rekod gempa bumi yang besar, China antara yang terawal menerima kesannya yang membunuh kira-kira 6,000 orang. Tragedi ini berlaku 70 tahun sebelum masihi.

Selepas itu, 40 gempa bumi besar dicatatkan di seluruh dunia tetapi magnitudnya yang paling besar ialah di Chile (1960) dan Alaska (1964) iaitu masing-masing berukuran 8.5 dan 8.6 skala Richter.

Bermakna, magnitud gempa bumi yang menimbulkan tsunami baru-baru ini adalah yang terbesar dalam sejarah yang direkodkan manusia kerana ia mencapai 9 pada skala Richter.

Dua gempa bumi besar yang menyebabkan tsunami ialah pada 1896 di Jepun yang mengorbankan 22,000 orang dan di Alaska tetapi hanya mengorbanklan 131 orang. Pada 1883 pula, ombak tsunami yang berpunca daripada letupan gunung berapi Krakatoa di Indonesia antara yang terbesar dan membunuh ramai mangsa di Jawa.

Struktur bumi di sekitar Lautan Hindi tidak aktif dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan berlakunya sebarang gempa bumi yang besar terutama di bawah aras laut. Itulah antara sebab utama amaran awal tidak dapat dikeluarkan kerana tiada siapa menduga kejadian sebegitu buruk akan berlaku. Sebelum ini bencana yang sebegini besar memang tidak pernah berlaku atau direkodkan dalam sejarah.

Walaupun demikian rekod menunjukkan terdapat lebih kurang 30,000 gegaran berlaku di sekitar Lautan Hindi dan Lautan Pasifik sekitar 1961 hingga 1967. Gegaran berkenaan adalah kecil dan tidak dapat dirasai serta tidak memberikan sebarang kesan kepada struktur bangunan.

Bagaimanapun gempa yang berasal daripada dasar lautan amat jarang berlaku dan jika berlaku, ia akan memberikan impak yang besar. Gempa bumi yang berlaku bawah permukaan laut pernah direkodkan bermula 0 killometer sehingga 700km bawah laut.

Semakin dalam gempa yang berlaku, semakin kuat kesannya dan gempa yang berlaku baru-baru ini hanya 40 km di bawah paras bumi. Gempa bumi yang berlaku di dasar laut akan mengakibatkan gelombang ombak besar dan menyebabkan pelbagai kerosakan besar di kawasan tepi pantai. Biasanya pertembungan antara benua lautan dan daratan (dua jisim berlainan) akan menghasilkan kekuatan yang amat luar biasa.

Pertembungan berkenaan akan menghasilkan gegaran kuat di lautan yang kemudiannya dijelmakan dalam pepejal. Kemudiannya tenaga disebarkan kepada jisim air yang membentuk serakan dan apabila sampai ke pantai menghasilkan gelombang besar dan dengan cepat menghempas pantai dan memusnahkan apa sahaja yang ada di depannya.

Biasanya sesuatu perkara yang jarang berlaku akan menghasilkan magnitud lebih kuat berbanding gegaran yang berlaku di daratan yang lebih kerap tetapi magnitud rendah kerana tenaga kurang.

Makin jauh pusat gempa di bawah paras laut semakin kuat gelombang yang dihasilkan di permukaan. Gegaran berkenaan dapat dirasai hingga di India, Sri Lanka dan sebahagian benua Afrika mungkin kerana dipengaruhi oleh arah dan kelajuan tiupan angin. Biasanya terdapat beberapa siri gegaran selepas gempa bumi dan akan stabil dalam masa satu atau dua minggu.

Tetapi mengapakah gegaran tidak dapat diramalkan lebih awal Ketiadaan sistem amaran pemantauan seismik di sekitar Lautan Hindi berbanding Lautan Pasifik seperti sekitar Jepun menyebabkan amaran awal tidak dapat dikeluarkan.

Mungkin kerana fenomena berkenaan tidak pernah berlaku di sekitar Lautan Hindi. Bagaimanapun kita harus mengambil iktibar mengenai apa yang telah berlaku walaupun negara terletah jauh dari Lingkaran Api Pasifik, langkah- langkah sewajarnya perlu diambil kerana apa yang berlaku menunjukkan negara telah mula mendapat kejadian alam luar biasa yang lebih kerap berbanding tahun 60-an.

Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan geohazard centre (pusat pemantauan malapetaka alam). Pusat berkenaan diwujudkan bukan sahaja untuk memantau kejadian seperti tsunami tetapi juga kejadian lain seperti banjir, tanah runtuh, dan jerebu supaya amaran awal boleh diberikan. Mungkin pengesanan awal telah dirasakan oleh pusat gempa bumi yang ada di negara maju tetapi tidak mempunyai mekanisme untuk disampaikan kepada penduduk.

Pihak berkuasa pula perlu mendapatkan kesahihan mengenai sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya kepada orang ramai. Bagi mengatasi masalah berkenaan pusat kaji cuaca perlu meluaskan khidmat seismologi dengan kaedah lebih baik dan ini perlu dilakukan segera.