PERISTIWA DI PADANG KARBALA - 9
APABILA semuanya mengetahui hukuman tersebut, maka segeralah saudara-saudara Muhammad Hanafiah bersiap-siap untuk berlatih memanah. Keluarlah mereka berpusu-pusu untuk melepaskan geram. Apabila hari telah petang matilah Panglima Simirlain itu kerana terlalu banyak sangat panah yang telah mengenai tubuhnya.

Keesokan harinya awal-awal lagi dipalulah orang gendang perang. Keluarlah tentera Baginda Yazid ke tengah Medan untuk berperang. Dari pihak askar Yazid keluarlah seorang hulubalangnya yang handal bernama Khial Zanggi. Tetapi sempat disambar kakinya oleh Masib Kaka dan terus dihumbannya ke tanah. Matilah hulubalang Khial Zanggi tu.

Apabila dilihat oleh Panglima Utbah dan Panglima Walid sudah tiada lagi perajurit yang tinggal melainkan Abu Hurairah sahaja, maka dengan segera disuruhnya Abu Hurairah masuk ke tengah medan perang.

Saudaraku Abu Hurairah, bagaimana pendapat tuan hamba tentang kedudukan kita sekarang Apakah kita akan menerima kekalahan Tidak panglima berdua, kita masih belum kalah lagi. Terlalu awal bagi kita untuk mengaku kalah. Biarlah kali ini hamba seorang yang keluar kerana barangkali hamba dapat menumpaskan tentera musuh pula.

Baguslah kalau begitu saudaraku Abu Hurairah. Keluarlah kiranya kita mendapat kejayaan, akan lebih banyak lagi anugerah Raja Yazid untuk kamu.

Masuklah Abu Hurairah ke tengah medan dan apabila dilihat sahaja oleh Masib Kaka dengan segera baginda masuk untuk melawan Abu Hurairah.

Oh, sudah tiada lagikah perajurit Raja Yazid yang gagah perkasa maka dihantarnya seorang tua yang begitu akrab dengan Rasulullah

Jangan tuan hamba menghina hamba demikian, biarlah hamba yang tua melawan kali ini.

Sahabat Rasulullah yang paling akrab, kini sedang mengumpulkan kekayaan atas darah keluarga Rasulullah. Membunuh cucunya, tidakkah tuan hamba berasa malu akan tindakan itu. Tidakkah tuan hamba takut akan Allah dan malu akan Rasulullah

Raja Masib Kaka terus mencabar dengan kata-kata yang menyakitkan telinga Abu Hurairah. Abu Hurairah menjawab:

Aku menyokong Raja Yazid kerana dia telah memberikan aku emas dan perak. Apakah salah kalau aku menyokong orang yang telah memberi kesenangan kepadaku

Dengan geram Abu Hurairah menerkam Raja Masib Kaka dan terus memarangnya. Tetapi ditangkis oleh baginda. Akhirnya mereka yang sama-sama handal itu terus bergomol di atas tanah. Ketika Abu Hurairah dalam keadaan keletihan, Raja Masib Kaka dengan tidak membuang masa lagi terus memenggal leher Abu Hurairah. Matilah Abu Hurairah pada saat itu juga.

Apabila dilihat oleh Panglima Utbah dan Panglima Ubaidullah Ziad dengan segera diperintahkan orangnya memukul gendang berhenti berperang. Apabila gendang itu berkumandang berhentilah kedua belah pihak dan baliklah mereka ke khemah masing-masing.

Masib Kaka dan saudaranya yang lain masuklah menghadap Muhammad Hanafiah. Berjamulah Baginda Muhammad akan saudaranya itu. Pada hari keduanya keluarlah pula Talib Ali ke tengah medan perang lalu berseru meminta lawan. KeluarIah seorang hulubalang Baginda Yazid tetapi dapat dibunuh oleh Talib Ali.

Apabila dilihat oleh para hulubalang Baginda Yazid bahawa kawannya telah dibunuh dan dipandang kanan dan kirinya telah banyak mayat yang bergelimpangan naiklah rasa takut dalam hatinya. Dengan segera dipacunya kuda dan terus diri masing-masing. Menanglah tentera Muhammad Hanafiah dengan memperolehi harta rampasan yang banyak.

Melihat banyak hulubalangnya yang handal telah mati, dengan segera Panglima Walid masuk ke sempat tengah medan. Dihunus syamsir dan terus mendekati Talib Ali. Raja Umar Ali yang melihat Panglima Walid mendekati adiknya segera pula masuk untuk menolong adiknya. Bergomollah Panglima Walid dengan Talib Ali. Tetapi apabila Umar Ali menghampiri sahaja tempat mereka, dengan segera Walid pun terus melarikan dirinya dengan ketakutan lalu dikejar oleh Umar Ali.

Ke manakah lagi panglima handalan Raja Yazid hendak melarikan diri Walaupun sampai ke lubang cacing sekalipun akan ku ikuti, kata Umar Ali.

Dalam keadaan yang terdesak itu terpaksalah juga Panglima Walid melawan dengan hatinya yang separuh takut itu. Ditangkapnya pinggang Walid, tetapi sebelum Umar dapat berbuat apa-apa, datanglah seorang hulubalang Yazid terus dipukulnya belakang Umar Ali dengan cemeti Panglima Ubaidullah Ziad juga telah memukulnya. Tetapi Umar Ali telah menjadikan tubuh Panglima Walid sebagai perisainya. Apabila dilihat oleh Maharaja Muhammad Hanafiah keadaan saudaranya yang begitu terdesak dengan segera dia masuk untuk menolong saudaranya itu. Dibunuhnya tentera Yazid yang begitu ramai mengepung saudaranya itu. Hingga menyebabkan barisan kepungan itu telah menjadi kucar-kacir. Walid telah terlepas dari pegangan Umar Ali tetapi sempat diikuti oleh Raja Masib Kaka.

Apabila kesempatan telah ada dengan segera Raja Masib Kaka memarang kepala Panglima Walid hingga terputus dua. Diikuti pula oleh Umar Ali yang telah dapat mengejar Panglima Umar Said hingga terpaksa Umar Ali membuat jerat dan terus dijeratnya leher Panglima Umar Said.

Setelah dilihat oleh Panglima Utbah dan Panglima Ubaidullah Ziad, dengan segera mereka melarikan diri. Berbincanglah mereka di tengah jalan.

Bagaimana saudaraku, askar kita telah hampir lumpuh. Kita kini telah mengalami kekalahan yang teruk.

Hamba rasa lebih baik tuan hamba menulis sepucuk surat kepada Baginda Yazid agar dia menghantar askar bantuan bagi menumpaskan Muhammad Hanafiah.

Baik juga fikiran tuan hamba itu. Hamba cukup bersetuju.

Setelah siap surat itu ditulis dengan segera diberikan kepada utusannya untuk disampaikan kepada Raja Yazid. Berangkatlah utusan itu dengan tergopoh-gapah untuk menyampaikan berita kekalahan tenteranya kepada Raja Yazid.

Setelah hampir lima hari berjalan tibalah utusan itu ke kota Damsyik. Masuklah utusan itu menghadap Baginda Yazid untuk menyampaikan surat tuannya.

Dibacanya surat itu dengan hati-hati sekali.

Baginda Yazid tercengang.

Apa Tentera beta telah tewas. Apakah benar berita yang kamu sampaikan ini utusan tanya baginda.

Benar tuanku, semua benar. Semua tentera kita telah tewas di tangan askar Muhammad Hanafiah. Panglima Umar Said yang handal telah ditawan mereka dan Panglima Walid telah terbunuh. Berubah muka Baginda Yazid mendengar perkataan utusan Panglima Utbah. Tubuhnya menggeletar. Baginda Yazid pun segera bertitah.

Beta tidak pernah takut akan askarnya yang ramai kerana beta tahu askar beta lebih ramai dari askarnya. Tapi yang paling beta takutkan ialah anak-anak Baginda Ali yang begitu gagah dan berani itu.

Baginda Yazid terus bertitah sambil menelan air liurnya.

Siapakah lagi pahlawan beta yang akan menangkap malah yang berani menangkap anak-anak Baginda Ali itu Jika berjaya beta akan menganugerahkan hadiah yang paling besar yang tak kamu mimpikan selama ini. Tapi sekiranya semua tidak sanggup biarlah beta sahaja yang melawannya.

Menteri Marwan segera masuk menyembah. Dengan lembut dia berkata, Tuanku, janganlah tuanku berangkat kerana masih ramai lagi hulubalang yang sanggup untuk masuk ke tengah medan. Tuanku masih diperlukan lagi di Damsyik. Biarlah tentera patik yang mengurusnya. Patik akan membantu Panglima Utbah dan Panglima Ubaidullah Ziad nanti.

Setelah mendengar kata-kata Menteri Marwan legalah sedikit perasaan takut Raja Yazid.