Malasian merupakan sebuah penempatan transit untuk pemburu berehat. Tempat itu sudah lama ditinggalkan. Banyak pemburu masuk ke hutan dan tidak kembali. Sebaliknya pula, mereka menjadi mangsa. Dalam hutan hanya ada satu hukum. Menjadi pemangsa atau mangsa. Yang gentar tidak akan berani mencabar hukum rimba itu. Sebab itu, Malasian ditinggalkan pemburu. Bagi Pa Lawan itulah kota hijau yang paling selamat. Dia dan pengikut-pengikutnya merancang untuk bersembunyi di situ beberapa lama sehingga orang-orang Tagalog tidak lagi memburu mereka. Kira-kira dua puluh pengikut Pa Lawan bersama-sama pasangan mereka hidup berburu sambil mencari pokok tengkaras dan cendana di hutan.
Pengikut-pengikut Pa Lawan semuanya sudah berpasangan. Ada antara mereka yang membawa lari gadis-gadis Tagalog. Walaupun Pa Lawan masih bujang, dia memahami keinginan lelaki Ma Lanyu.
Baginya sudah banyak kali, dia digoda wanita-wanita Ma Lanyu dan Tagalog. Mereka ingin menjalin hubungan intim dengan niat untuk mengahwininya. Namun demikian, Pa Lawan masih diimbau ramalan pawang tilik tentang bakal pasangan hidupnya. Seorang pawang tilik pernah membaca garis-garis telapak tangan dan mengatakan jodohnya berada jauh di pulau selatan. Hanya pengembaraan ke arah selatan membolehkan dia menemui gadis pilihan Daragang Magayon bernama Ines. Daragang Magayon ialah tuhanita cinta yang mengatur jodoh perkahwinan dan penceraian. ltulah yang memberikannya kekuatan untuk belayar menuju ke pulau selatan. Pulau harapan yang muncul apabila tiupan bayu mati di tengah lautan.
Setelah pemburuan orang-orang Tagalog dijangka reda, Pa Lawan kembali menyusup keluar dari Malasian menuju ke Malatani. Dari Malatani mereka meredah hutan ke Gayung Gayung. Dengan membina rakit-rakit buluh, mereka menyusuri sungai-sungai kecil untuk tiba di Minanga. Di Minanga mereka berkampung di tepi salah satu hulu Sungai Cagayan.
Seperti orang-orang Ma Lanyu, Pa Lawan mahir membina kapal. Di Minanga, dia menggerakkan orang-orangnya mencari sumbersumber kayu untuk pembinaan. Dengan dua puluh sembilan bahagian kayu, percantuman kayu-kayu itu menuruti tradisi pembinaan yang halus. Haluan kapal dihias kepala bangau bermata besar sesuai dengan adat resam orang-orang Ma Lanyu yang mengidolakan burung-burung. Apabila kapal itu siap, mereka menunggu air pasang untuk meluncurkan kapal mereka di galangan ke dalam sungai. Dengan mendayung, mereka bergerak menuju ke muara Sungai Cagayan waktu malam hari. Mereka bimbang menyusuri Sungai Cagayan di siang hari. Langkah itu pasti mengundang celaka. Mereka mungkin dihujani anak-anak panah dan lembing orang-orang Tagalog.
Di Appari, mereka memasuki Selat Babuyan di laut terbuka. Segala kemahiran mengharungi laut telah dipelajari daripada Pa Ngit dan Pa Ngin sebelum mereka meninggal dunia. Dengan berguru kepada Pa Ngit dan Pa Ngin, Pa Lawan dan adiknya II Lanun, belajar tidak hanya mengenai bintang-bintang pelayaran di langit malam, mereka juga diajar bagaimana mengenal tuhan-tuhan nenek moyang mereka. Tuhan pertama diajarkan kepada Pa Lawan dan ll Lanun ialah Bathala, tuhan pelatih yang berada dalam masa percubaan. Pertama kali Bathala menciptakan manusia, dia telah tersilap menentukan suhu masakannya masakannya sehingga hangus. Sebab itu, ada manusia berkulit hitam. Kemudian Bathala mengurangkan suhu buatannya; terlalu kurang api yang digunakan jadilah manusia yang berkulit cerah. Akhirnya Bathala menjadi mahir atas kesilapankesilapan yang lalu, akhirnya berjaya menghasilkan manusia yang sawo matang kulitnya seperti orang-orang Ma Lanyu. Pa Lawan dan II Lanun diajarkan pengalaman. Biarpun seorang tuhan seperti Bathala, perlu belajar daripada alam untuk menghasilkan yang terbaik.
Banyak tuhan-tuhan lain diajarkan sebagai bekal untuk menghadapi pancaroba kehidupan. Bagi pelaut mereka harus mengenali Kimat dan Naga Laut. Kimat merupakan seekor tuhan yang merayau-rayau di angkasa. Kimat ialah tuhan yang ganas. Apakah jampi yang perlu dilafazkan untuk menjinakkan Kimat sudah diketahui dan dihayati sepenuh hati. Kimat itu tuhan berupa seekor anjing berbulu keluli yang mengembara bersama-sama mendung hitam yang mampu memalamkan siang. Setiap salakan Kimat yang mengguruh di langit sehingga laut bergelora dan menggegarkan pula bumi, dan pohonpohon tidak berbuah. Dan, marahnya Kimat disertai panahan petir yang membencanakan. Keluarlah kilat dengan api bercahaya dan bertenaga daripada bulu-bulu keluli yang tajam dan diajarkan Pa Ngit dan Pa Ngin bukanlah untuk berkonfrontasi dengan kekuatan Kimat tetapi kemahiran meramalkan kehadiran Kimat yang merayau-rayau di langit haluan pelayaran. Membaca angin langit, riak ombak, terbangan burung-burung pesisir, kehadiran ikan lumba-lumba dan penyu mengiringi kapal ialah petanda yang perlu ditafsirkan. Semuanya memberikan alamat akan kehadiran Kimat. Kimat biasanya berpasangan dengan Naga Laut yang mengocak dan mengumbang-ambingkan apa sahaja yang terapung di samudera. Gandingan Kimat dan Naga Laut akan menjadi taufan yang melambungkan kapal ke mulut Kimat yang nanti menganga atau menenggelamkan kapal untuk ditelan Sang Naga Laut. Menurut Pengkhayal, mitos laut dan langit berpuaka telah menyebabkan sesetengah etnik kekal di daratan dan menjadikan hutan sebagai tempat perlindungan. Mereka yang gentar pada Kimat, kekal menjadi orang-orang darat dan orang-orang hulu. Menjadi manusia pesisir pun, mereka tidak ingin. Apalagi untuk mengharungi lautan yang pantainya tidak menentu, dan airnya berakhir entah di mana. Hanya orang-orang seperti Pa Lawan yang berani menyahut cabaran Kimat dan Naga Laut.
Sejak usia muda lagi Pa Lawan dan II Lanun sudah biasa dengan laut, kapal, layar dan kuasa yang menggerakkan dan memusnahkan pelayaran. Mereka sedia maklum tentang bahaya menanti di lautan lepas. Tetapi, perkara itu tidak menakutkan mereka kerana sudah terbiasa dengan kerenah laut. Malah, pada usia dua belas tahun Pa Lawan dan II Lanun pernah belayar ke Pulau Bataan bersama-sama Lu Zon, Pa Ngit dan Pa Ngin, kemudian meneruskan pelayaran hingga Pulau Lanyu dan Ilha Formosa. Pada usia lima belas, dia sudah bergelar nakhoda. Dia dan Il Lanun melalui pengajaran dan pengalaman yang sama untuk menjadikan mereka nakhoda yang berwibawa seperti ayah mereka, Lu Zon. Namun, ada perbezaan watak yang nyata dalam perangai dan temperamen antara Pa Lawan dengan Il Lanun. Selalunya Pa Lawan menerima padah akibat tabiat ganas Il Lanun. Lantaran itu, dia mahu mengasingkan diri daripada pengikut-pengikutnya ke tanah baru dan tidak mahu berurusan dan dikaitkan dengan adiknya itu. Apalagi pengikut-pengikutnya.
Apabila kedua-dua adik-beradik itu menjadi nakhoda, mereka sudah mempunyai awak-awak. Dalam perhubungan lisan antara nakhoda dengan pengikut-pengikut, Pengkhayal dengan jelas dapat membayangkan bagaimana bahasa Ma Lanyu itu dikembangkan oleh Pa Lawan melalui kod-kod perkataan kunci yang berlainan dengan yang dibentuk Il Lanun. Itulah yang ketara pada Pengkhayal bagaimana varian bahasa Ma Lanyu menambah jumlah kosa kata. Semuanya atas keperluan kelompok untuk merahsiakan apa yang diucap. Pa Lawan percaya adiknya Il Lanun dan pengikutpengikutnya melarikan diri ke Seludong.
Di Appari, Pa Lawan menjual hasil mahsul hutan yang dikumpulkan oleh orang-orangnya kepada pedagang-pedagang Utsul yang sudah berani menyeberangi Selat Balintang. Pa Lawan bukan seorang nakhoda suruhan yang membawa barang dagangan pemukapemuka Ma Lanyu. Dia seorang nakhoda pedagang yang tahu bahawa untuk belayar dia harus membawa barang dagangan. Tentunya dia akan memilih benda-benda berharga seperti pinggan mangkuk seramik dan kain tenunan sutera dari Dataran Besar untuk dijadikan barang dagangan. Pa Lawan tahu memilih hasil mahsul hutan yang sangat-sangat dikehendaki oleh orang-orang Utsul. Kulit-kulit kayu yang berbau harum, kayu gaharu dan cendana selain rotan berbagai-bagai saiz dan ukuran. Semasa meredah hutan, mereka memburu dan berjaya menangkap binatang-binatang liar seperti harimau untuk kulit dan kepalanya, badak sumbu dan rusa untuk tanduknya. Kulit-kulit pelbagai haiwan hutan mempunyai nilai yang tinggi di mata pedagang-pedagang Utsul. Yang paling mahal ialah buah zakar kering daripada monyet-monyet. Menurut pedagang-pedagang Utsul, buah zakar kering itu digunakan oleh orang-orang Han untuk merawat penyakit kejantanan. Malah, kapal layar Pa Lawan sarat dengan hasil mahsul hutan eksotik yang sangat diperlukan oleh pedagang-pedagang Utsul dan Han, Pa Lawan mengetahui pedagang-pedagang Han memberikan ganjaran yang lumayan untuk harimau yang telah dikeringkan. Dia difahamkan tabib-tabib Han merawat berbagai-bagai jenis penyakit daripada hampir semua bahagian tubuh harimau. Malah, misai harimau pun boleh menyembuhkan sakit gigi.
Pa Lawan ada mendengar cerita-cerita pelaut mengenai sebuah pulau besar yang luas dan kaya dengan hasil belantara. Menurut cerita, apabila melayari laut selatan sehingga matinya tiupan angin timur laut, semua kapal layar akan berhenti. Pulau itu mempunyai nama mistik dalam kalangan pelaut. Dari zaman lampau hingga zaman Pengkhayal, pulau itu dinamakan sebagai Pulau di Bawah Bayu. Ke arah Pulau di Bawah Bayulah, Pa Lawan mengemudikan kapal layarnya dengan diiringi burung-burung penghijrah di langit cerah dan ikan lumba-lumba di laut biru. Dalam imbauannya, dia ingin menemukan ramalan dan kenyataan dalam suatu wadah pengalaman. Maka, wajah Ines yang menghantui imbauannya mungkin berada di pulau harapan.
Pa Lawan masih ingat ketika dia dan Il Lanun dibawa Pa Ngit mendaki bukit yang tertinggi di kampung mereka. Apabila mereka tiba di puncak bukit, mereka menjadi hairan, kerana tidak disuruh berbuat sesuatu. Pa Ngit juga tidak menyuruh apa-apa kecuali menunggu. Pa Lawan dan Il Lanun menjadi gelisah. Rupa-rupanya, Pa Ngit menanti hingga matahari terbenam. Apabila gelap tiba, langit yang tadinya seakan-akan kolong kosong, tiba-tiba saja menjelmakan bintang-bintang. Berkerdipan bagaikan magis; kemunculan bintang-bintang itu bergiliran seolah olah taman bercahaya yang menyinar dari langit malam. Pa Ngit mengajar mereka untuk mengenal bintang-bintang yang dibentuk oleh corak taburan bintang itu ialah petunjuk jalan laut yang harus dikenali oleh setiap pelaut. Mereka diajar mengenali bintang utara, bintang selatan, bintang fajar dan bintang senja. Semua bintang itu diberikan julukan bintang laut. Bintang-bintang laut di langit membentuk rupa-rupa seakan-akan binatang di darat. Bintang-bintang di langit membuat peta-peta laut yang boleh dirujuk ketika malam. Sebab itu, Pengkhayal melihat hubungan pemilihan kata-kata binatang dan bintang begitu mirip, sungguhpun satu di bumi dan yang satu lagi di langit.
Pada siang hari, Pa Ngit mengajar mereka mengenal awan. Jenisjenis awan yang memutih itu memberikan makna mengenai cuaca yang boleh dibaca. Juga diajar bagaimana mengemudikan kapal untuk mengelakkan mendung hitam dengan membaca pergerakan awan. Mereka juga pandai mengenal rona pantulan pulau atau daratan yang terbias di dasar awan. Dengan demikian, mereka tahu kapal yang dilayari itu menghampiri daratan dengan hanya memerhatikan bayangan di awan. Malah, mereka sudah membiasakan diri membaca keladak laut yang menuju dari suatu pulau ke pulau yang Iain. Di dasar laut ada semacam sungai yang mengalirkan keladak suatu pulau ke suatu pulau Yang Iain. Jika sesat di laut susurilah sungai laut, pasti ia membawa ke satu pulau yang Iain. Pengkhayal melihat alam merupakan sekolah pelayaran untuk pelaut-pelaut seperti Pa Lawan dan Il Lanun.
Pengajaran yang Pa Lawan dan Il Lanun terima itu menyebabkan mereka yakin dengan laut. Laut ialah cabaran masa depan mereka. Akur pada kuasa-kuasa yang menyuburkan segala isi dan kandungan laut, mereka menjadi akrab dengan laut dan khazanah di perutnya. Di daratan mereka tidak pernah kesasar, demikian juga mereka tidak akan sesat di laut, biarpun di laut mana sekalipun mereka dicampak; selagi ada matahari, malam, bulan dan bintang, mereka boleh kembali ke tempat asal atau daratan yang terdekat kerana otak mereka telah merakamkan corak-corak bintang ketika di laut. Itulah peta laut di langit. Papan tanda jalan laut yang boleh membawa kapal layar meneroka ke segenap penjuru dunia. Mereka yang menguasai laut, merekalah akan menguasai buana.
Pa Lawan dan Il Lanun juga berguru pada Pa Ngin dan Pa Nah. Pa Ngin mengajar mereka mengenal angin, ombak dan tentang kitaran pasang surut air laut. Pa Nah bukan sahaja pakar mengenai tanah dia juga mengajar mereka tentang mercu tanda laut, bagaimana mengenalnya meskipun pemandangan laut yang kelihatannya sama sahaja di setiap sudut. Itulah kemahiran yang diturunkan kepada mereka berdua. Biarpun dikelilingi air laut semata-mata, pelautpelaut Ma Lanyu tahu setiap kali kapal belayar, setiap kali pula posisi mereka berubah. Dan, mercu tanda di langit menjadi rujukan. Mereka sudah mengerti bagaimana laluan di langit membantu laluan laut untuk menemui daratan,
Lu Zon sebagai bapa memastikan semua ilmu yang dia tahu diturunkan kepada anak-anaknya. Untuk mengingatkan bintangbintang itu, ada nyanyian yang memuja bintang-bintang, didendangkan bersama-sama awak-awak. Pengkhayal melihat bagaimana tradisi Iisan mengenai semangat-semangat laut dihayati oleh generasi berikutnya. Rahsia-rahsia itu tidak akan luput daripada budaya yang akrab dengan laut. Lu Zon mengajar mereka burung pantai dan burung-burung benua. Ikutilah penerbangan burungburung, kamu tidak akan silap. Apabila fajar menjelma burungburung daratan terbang menuju ke laut, mencari ikan di laut, dan apabila senja burung-burung itu kembali ke dataran semula.
Ilmu yang Pa Lawan terima membuatnya gentar menghadapi lautan mana sekalipun. Kerana itu, ketika mengharung Laut Selatan, dia pasti akan menemui tanah baru seperti yang dijanjikan kepada pengikut-pengikutnya. Dia sudah tidak lagi peduli pada II Lanun kerana dia tahu, tanpa pengikut dia tidak mampu menjadi nakhoda atau ketua. Tanah baru menjanjikan kekayaan dan kemewahan. Gading, tanduk badak sumbu, harimau, batu-batu berharga, hutan dara yang hasil mahsulnya belum diterokai menanti tanpa sebarang rebutan wilayah. Sudah dibayangkan kepada pengikut-pengikutnya kekayaan yang bakal diperoleh mereka. Kekayaan yang bakal dikongsi bersama, janji-janji yang tampak bakal menjelma. Perkongsian itu telah diperlihatkan ketika Pa Lawan membahagi-bahagikan barang dagangan di Appari. Pengikut-pengikutnya bertambah yakin dengan kewibawaan Pa Lawan. Dia memperlihatkan kepimpinan yang menambat kepercayaan pengikut pengikutnya melalui karisma Pa Lawan.
Ketika melayari Laut Selatan, Pa Lawan nampak sekawan burung menyanggah laluannya. Hari sudah larut petang. Burung-burung pasti kenyang setelah mencari ikan, terbang rendah sambil mengeluarkan suara yang cepat ditafsirkan Pa Lawan sebagai suatu amaran. Dia pergi ke tepi kapal dan merasakan air dengan tangan. Masih terngiang di telinga pesan Pa Ngit dan Pa Ngin. Apabila air laut terasa hangat dan laut pula terasa sejuk, hati-hati malapetaka akan mendatang. Apalagi ditambah dengan alamat daripada pergerakan burung-burung menuju ke daratan. Dia bingkas bangun lantas terkeluar daripada mulutnya sumpahan keramat itu. Semua awak-awak terkejut dengan makian itu. Wanita-wanita Ma Lanyu tersenyum kambing dengan sumpah lantang Pa Lawan. Pengkhayal juga tersentak dengan makian itu. Pasti ribut besar akan datang. Demikian pula teriak Pa Lawan pada Pa Long. Pa Long ialah orang kepercayaannya dan serang kepada awak-awak.
Pa Lawan segera mengarahkan serangnya, Pa Long mengalihkan layar. Serangnya itu tahu apa hendak dibuat seterusnya. Layar digulung oleh awak-awak dengan pantas. Awak-awak yang Iain mencapai dayung. Pa Lawan berlari menuju ke kemudi. Dia mengarahkan awak-awaknya mendayung dan memutarkan kemudinya mengekori arah penerbangan burung-burung itu.
Wanita-wanita Ma Lanyu memanterakan nyanyian memuja semangat laut untuk melawan panahan dan salakan Kimat. Mendengarkan nyanyian itu, awak-awak tambah bersemangat mendayung sekuat kudrat sambil ikut menyanyi bersama. Dari kejauhan tampak mendung hitam bergulung-gulung berarak kencang. Awan-awan gergasi bergerak laju bagaikan mahu menyerang dan mengepung kapal layar mereka. Pa Lawan menoleh ke belakang. Dia melihat ombak makin menggelora. Ufuk yang tadinya tampak mendatar di hujung laut, kini telah ditelan gelombang yang mulai mengganas. Gelombang ombak itu meninggi ke langit laksana disedut mulut Kimat yang menerawang di mega kelam itu. Pengkhayal merakamkan ketinggian ombak yang mengejar kapal Pa Lawan. Setinggi dua pokok nyiur ombak itu menggunung sedangkan kapal layar itu seolah-olah tumbuhan renek di perdu pohon kelapa.
Hujan mulai turun, semakin lebat dengan setiap dayungan. Awakawak basah kuyup disirami hujan dan air laut melimpah ke geladak. Ombak ganas menerpa di segenap penjuru baik di haluan mahu pun di buritan. Kapal layar itu bagaikan dikocak Sang Naga Laut, sahabat Kimat. Ada wanita Ma Lanyu yang termuntah-muntah akibat mabuk dilambung ombak. Mereka memegang kuat berpaut pada apa sahaja yang kukuh. Kapal itu melambung-lambung dibedal ekor Sang Naga Laut. Terumbang-ambing kapal itu di puncak ombak pada suatu ketika sejenak masa, pada ketika Iain pula dalam sekelip mata, kapal layar terbenam di lurah ombak. Air laut tidak putusputus menghempas ke geladak dan buritan. Pa Lawan hampir terjatuh, namun tangannya tetap mengekalkan haluan kemudi yang menentukan haluan pergerakan kapal. Pa Long meluru ke arah buritan untuk membantu Pa Lawan mengawal kemudi. Dengan dua orang memegang kemudi, dorongan ombak yang menggila terhadap kemudi berjaya dikuasai. Tenaga lelaki-lelaki Ma Lanyu itu mampu mengalahkan kuasa Sang Naga Laut yang mahu menenggelamkan apa sahaja yang berada di permukaan laut.
Dalam kesejukan yang menggila, isteri serang, Ma Long mengambil timba tempurung nyiur lalu dalam terhuyung-hayang mencedok air yang berkocak di perut kapal dan membuangnya ke laut bergelora. Wanita-wanita Iain, isteri awak-awak segera melakukan perbuatan yang sama tanpa menghiraukan keselamatan mereka.
Hari makin gelap. Burung-burung yang menghindarkan ribut besar sudah tidak kelihatan. Langit kelam itu kini tanpa peta laut sebagai rujukan. Keadaan itu cukup menakutkan Pa Long dan awak-awak. Mereka mengerti di langit berbintang, ada peta yang memberikan arah ke jalan laut. Namun, Pa Lawan tidak gentar pada ribut besar dan hilangnya peta laut di langit kelam. Kerana menurut hatinya, sesuatu peperangan dengan amukan alam boleh dimenangi melalui pengunduran. ltulah yang dilakukan oleh Pa Lawan. Meskipun burung-burung penghijrah itu tidak lagi kelihatan, Pa Lawan telah merakamkan dalam benaknya laluan mereka dengan sekilas pandang ketika burung-burung itu melenyap daripada pandangan.
Berkat kerjasama yang diberikan awak-awak dan wanita-wanita Ma Lanyu itu, Pa Lawan berjaya menghindari malapetaka yang dibawa Kimat dan Sang Naga Laut. Perlahan-lahan kapal itu keluar dari daerah taufan yang berbahaya. Ombak yang ganas bertukar ombak besar yang hanya mampu membuai perut termasuk perut Pengkhayal. Tiada lagi ombak laut yang menerpa masuk. Hujan yang lebat tadi beransur renyai. Angin yang menggila mulai terarah. Meskipun sudah mulai tenang, Pa Lawan tidak mahu memperjudikan nasib dengan menaikkan kedua-dua buah layar. Dia hanya menaikkan sebuah layar kecil untuk membantu awakawak yang keletihan mendayung.
Semalaman Pa Lawan tidak tidur. Apabila Pa Long terjaga, Pa Lawan masih gagah berdiri tegap di samping kemudi. Entah bila Pa Long terlelap tidak disedarinya. Cahaya fajar mulai tampak di ufuk timur. Kerdipan bintang kejora sedikit demi sedikit menghilang digantikan cerah. Nun di kejauhan tampak buah pulau panjang yang terbentang di ufuk mentari. Bundaran pijar sang matahari seolah-olah mengintai di sebalik banjaran gunung yang sederhana tinggi. Awakawak dan isteri-isteri mereka melahirkan rasa lega. Kegembiraan yang tercetus menghilangkan keletihan akibat pergelutan dengan Kimat dan Sang Naga Laut. Makin hampir mereka dengan daratan, makin jelas keindahan pulau itu. Lambat-laun ufuk laut di keduadua sisi pulau itu menghilang, digantikan pemandangan landskap laut yang mempesonakan. Pantainya putih melepak bagaikan tepung pasir. Ombaknya tenang dan lembut mengalun ke gigi pantai. Jernih airnya laksana kaca berkristal memantulkan sinar mentari pagi yang menceriakan wajah-wajah yang menghapuskan keletihan. Pokok-pokok nyiur lunak melambai ditiup angin sepoisepoi bahasa seakan-akan menyambut kedatangan mereka. Di mata awak-awak dan isteri-isteri mereka, terpancar semacam cahaya kepuasan, seolah-olah menemui pulau impian yang dijanjikan. Namun, di mata Pa Lawan, ia bukanlah pulau buruannya. Awakawak itu begitu gembira sambil menjerit pulau itu sebagai Pulau Palawan. Nakhoda mereka tahu, tanah yang dicari ialah negeri di bawah bayu seperti diceritakan dalam legenda yang didendangkan oleh tukang-tukang cerita di Lembah Cagayan. Buat sementara ini, Pa Lawan berpuas hati dengan pulau singgahan itu. Pengkhayal menyedari sejak saat itu, pulau itu dipanggil Pulau Palawan. Dan, nama itu akan senantiasa terpahat di setiap peta bila-bila masa pun sepanjang zaman. Nama pulau itu kekal meskipun dikunjungi peneroka dan pelaut Barat dan selamat daripada pemberian nama baru. Kendati pernah ada percubaan menggantikan nama pulau itu oleh penjajah, penamaan baru pulau itu gagal menggantikan nama Pulau Palawan. Kekal abadi dalam rumpun Malayonesia.
Semua orang turun ke darat. Hanya tinggal Pa Long, isterinya dan seorang awak bujang. Mereka ditugaskan menjaga kapal. Jika kapal ditinggalkan tanpa pengawasan, apa sahaja boleh terjadi. Pa Lawan tidak mahu mengambil sebarang risiko.
Pa Lawan berhasrat meninjau kawasan hutan di pulau itu. Melihat bentuk pantai yang lurus dan panjang, Pa Lawan mampu mengagak keluasan pulau. Pulau itu bukanlah pulau yang menjadi idaman. Jelas padanya, kemungkinan terdapatnya haiwan-haiwan besar bertanduk amat tipis. Haiwan-haiwan besar memerlukan kawasan hutan yang besar. Mungkin ada rusa, tanduknya pun berharga untuk dijual pada pedagang Utsul, tetapi dia amat berminat dengan badak sumbu dan harimau. Tanduk badak sumbu dan bahagian-bahagian tubuh harimau yang dikeringkan mempunyai harga yang tinggi dalam kalangan pedagang Han. Apalagi gading gajah. Dia perlu meninjau dan menjelajah hutan agar dapat membuktikan sangkaan awalnya. Lantaran itu, dia membawa pengikut-pengikutnya masuk ke hutan pulau itu. Untuk memasuki hutan, Pa Lawan perlu mencari dan menyusuri sungai. Sungai amat penting. Selain sebagai sumber air di tebingnya boleh didirikan penempatan sementara. Sungai juga menjadi tumpuan binatang-binatang besar untuk berkubang, berkawanan, minum dan bermain air.
Pa Lawan mengenal pasti lokasi untuk mereka berteduh. Kaum perempuan dan sebahagian kaum lelaki ditinggalkan di penempatan itu, sementara orang-orang kanannya dibawa memasuki kawasan pedalaman. Turut serta dalam rombongannya ialah pawang yang mahir mengesan haiwan-haiwan besar. Biasanya tanda-tanda kehadiran dilihat melalui kesan daripada tapak kaki, tompokan najis dan keadaan ranting-ranting kayu yang patah oleh rempuhan haiwan besar. Pawang itu juga mampu menghidu haiwan-haiwan itu. Pawang itu bemama Pa Natang. Dalam penjelajahan hutan itu, Pa Lawan diiring sepuluh orang yang mengikut ekspedisinya itu. Pengkhayal melihat ekspedisi-ekspedisi peribumi tidak pernah diketengahkan sedangkan tokoh-to koh ekspedisi Barat diagungagungkan sebagai wira. Sedangkan orang-orang asli Pengkhayal telah lama melakukannya tanpa sebarang pengiktirafan. Sudah lama Pengkhayal menyedari sejarah ditulis dengan pusat rujukan ke Barat.
Tampaknya setelah setengah hari menempuh hutan itu, Pa Lawan tidak menemui sesuatu yang dicarinya. Pada mulanya, mereka menyusuri sepanjang tebing sungai. Oleh sebab tidak berjumpa sebarang tanda bahawa kawasan itu mempunyai binatangbinatang besar, atas cadangan Pa Natang, mereka meninggalkan daerah sungai itu menuju ke kawasan pedalaman.
Pa Lawan yakin mereka sudah berada di tengah-tengah pulau kerana mereka terpaksa mendaki tanah tinggi. Pa Natang berkata adalah sukar bagi binatang-binatang besar untuk naik ke bukit. Tanah rata sukar diketemui. Dari awal lagi sewaktu meredah hutan itu, cepat terasa sekali perjalanan mereka sudah bermula dengan pendakian. Kerana sore hampir tua, Pa Lawan mulai mencari-cari tempat bermalam. Pengkhayal melihat peneroka-peneroka purba itu ibarat pelancong yang mencari hotel penginapan. Gua ialah hotel semula jadi daripada alam tabii yang menjamin keselamatan dan keselesaan untuk pemburu dan peneroka. Kemahiran mencari gua memang bakat semula jadi Pa Lawan. Dia seolah-olah boleh menghidu gua. Hidungnya mampu menghidu bau yang keluar daripada mulut gua, pada suatu kejauhan. Sebab itu dia dikagumi pengikut-pengikutnya. Bagi Pengkhayal, gua bukanIah tempat perlindungan untuk manusia sahaja. Apabila hujan akan turun, atau senja akan berlabuh, haiwanhaiwan seperti rusa, musang, beruang, harimau serta burungburung akan mencari gua atau kembali ke gua. Sudah menjadi tabii Pa Lawan, dia sangat sensitif dalam menghidu bau gua. Tahi burung dan tahi kelawar memberikan aroma yang baunya boleh dihidu. Di gua jugalah orang-orang Ma Lanyu mengait sarang burung layanglayang yang mempunyai nilai bagi pedagang-pedagang Han dan Utsule Kerana kepakaran Pa Lawan, orang-orangnya sungguh yakin jika berada di bawah ketuanannya.
Menjelang senja, Pa Lawan berjaya menemui sebuah gua untuk mereka bermalam. Di situ terubat segala keletihan yang menyedut banyak tenaga. Juga perut yang lapar akan diisi dengan daging panggang buruan yang rebah di hujung anak panah mereka. Setelah perut itu kenyang dengan daging monyet, ratu kantuk menjelma untuk membuai mereka dengan mimpi-mimpi indah yang menghilangkan bayangan Kimat dan Sang Naga Laut.
Apabila mereka terjaga daripada mimpi-mimpi itu pada keesokan pagi, mereka seolah-olah dilamun mimpi semula. Apakan tidak, setelah terjaga daripada lena, mereka dikelilingi puluhan wanita berpayu dara tunggal. Sekali pandang ibarat bidadari-bidadari dari kayangan. Dua kali pandang ternyata payu dara kanan mereka telah dipotong. Wajah-wajah mereka cantik, namun bengis. Yang bersusu tunggal siap dengan anak panah yang sedia untuk dilepaskan ke arah mereka. Ada juga wanita yang lengkap payu daranya. Kenyal dan montok sekali. Tangan-tangan mereka pula menghala tombak ke leher orang-orang Ma Lanyu itu. Dengan pantas wanita-wanita itu menyerbu lantas mengikat kedua-dua tangan dan kaki lelaki-lelaki Ma Lanyu yang masih mamun. Tidak sempat pun menghapuskan tahi mata, Pa Lawan dan pengikut-pengikutnya telah menjadi tawanan.
Mereka dibawa secara paksa ke gua yang Iain. Rupa-rupanya guagua itu saling bersambungan. Ia merupa rangkaian gua yang cukup panjang. Di minda Pengkhayal, kompleks gua itu dikenali sebagai Gua Tabon. Dua puluh ribu tahun yang lalu, gua itu merupakan penempatan terawal orang-orang Austro-Malayonesian yang berhijrah dari Dataran China Selatan menyeberang jambatan bumi ke Gua Arku di Ilha Formosa, kemudian meniti permatang laut untuk menempati Gua Musang di Lembah Cagayan, akhirnya menyusuri pantai barat Pulau Luzon untuk sekali lagi menyeberang titian bumi ke Pulau Palawan singgah di Gua Tabon untuk meneruskan perjalanan ke Gua Baturong di Negeri di Bawah Bayu, Gua Kotabatu di Barunah, dan Gua Niah di Bumi Kenyalang. Lebuh raya purba itu merupakan jalan utama ke suatu destinasi yang bakal mengangkat bahasa dan bangsa Pengkhayal ke mercu kegemilangan.
Pa Lawan dan sepuluh orang pengikutnya tidak tahu ke mana mereka akan dibawa. Mereka dapati kesemua orang yang tinggal di gua itu terdiri daripada wanita belaka. Tidak seorang lelaki pun kelihatan kecuali orang-orang Ma Lanyu. Tidak ada kanak-kanak lelaki, semuanya kanak-kanak perempuan. Pa Lawan cepat teringat cerita lipur Iara tentang negeri tuhan Binus yang terdiri daripada perempuan sahaja. Meskipun itu hanya cerita dongeng, tetapi apa yang dialami kini bukanlah mimpi. Ia suatu realiti yang terjadi di hadapan mata.
Bagi Pa Lawan, penawanan mereka terasa semacam pernah dilalui. Aneh, tetapi benar. Seperti mimpi yang pernah berulang. Pengkhayal merasakan peristiwa itu sebagai deja vu yang kerap dideritai.
Apabila dibawa menghadap seorang perempuan gemuk, Pa Lawan segera menyedari perempuan itu ialah seorang ratu tuhan yang pernah diketahuinya melalui cerita-cerita rakyat. Mukanya bulat seperti purnama penuh. Kulit mukanya putih melepak. Rambutnya jarang. Keningnya rontok. Matanya sepet. Telinganya kecil seperti telinga bayi. Lehernya tidak kelihatan kerana muka dengan dada seolah-olah menjadi satu. Lipatan lemak di lehernya mengatasi dagu yang tenggelam. Dua teteknya melendut hingga ke paras pusat. Perutnya buncit seperti perempuan mengandung tua. Pahanya sahaja sebesar dua perdu pokok kelapa. Dia duduk tersandar dengan sedikit sekali pergerakan.
Pa Lawan terkejut apabila terpandang seorang wanita muda dan cantik yang berdiri di samping Ratu Binus. Wanita itu persis apa yang diceritakan oleh tukang tilik di Lembah Cagayan. Sejak dahulu lagi dia kerap bermimpi mengenai Ines. Pa Lawan tidak mempedulikan statusnya sebagai seorang tawanan Ratu Binus. Tetapi, yang benarbenar menawan hati ketika itu ialah seorang wanita antik bernama Ines. Itulah wanita idaman yang sentiasa muncul dalam mimpinya. Tatkala Pa Lawan menyebut nama Ines pada wanita cantik itu, semua yang ada terkejut termasuk Ratu Binus. Ines juga terkejut namun balas dengan menyebut nama Pa Lawan. Bertambah hairanlah semua. Rupa-rupanya Ines dan Pa Lawan berkongsi mimpi yang sama. Mereka diketemukan dalam mimpi oleh Pengkhayal. Memanglah di luar dugaan kerana Pengkhayal tidak mampu mengawal khayalannya. Dalam kesempatan yang ringkas itu antara Pa Lawan dengan Ines, ada pertukaran rasa halus yang kuat. Sukar dinafikan tarikan kuat antara mereka berdua seperti Uda dan Dara, Laila dan Majnun, Romeo dan Juliet. Ines dan Pa Lawan jatuh cinta pandang pertama.
Ratu Binus tidak peduli tentang cerita mimpi bersama. Tidak sedikit pun dia kagum. Lebih menjengkelkannya apabila melihat Puteri Ines demikian tertarik akan Pa Lawan. Semua kebencian dan dominasi kewanitaan yang ditanam kepada Puteri Ines mengenai lelaki rupa-rupanya tidak menjadi. Ratu Binus segera ingin memutuskan pendaman cinta yang sedang menyala di hati Puteri Ines. Dia mahu semua lelaki yang ditawan itu dikurung. Mereka akan dijadikan hamba seks kepada Ratu Binus. Dapatlah Ratu Binus hamil lagi. Yang Iahir daripada rahim Ratu Binus ialah perempuan belaka. Hamba seks yang sedia ada sudah tua. Hamba seks lelaki akan dirangsang berahi oleh wanita cantik dalam upacara pemujaan, tetapi pada saat-saat akhir mereka dipaksa sanggama dengan Ratu Binus sebagai simbol tuhan wanita. Segenap anggota masyarakat matriarki itu menyaksikan upacara sanggama sebagai penyatuan semangat kuasa-kuasa kehidupan yang melahirkan kehidupan baru. Biasanya selepas sanggama, tawanan hamba seks itu dibunuh.
Tidak kembalinya Pa Lawan ke penempatan sementara di tebing sungai menyebabkan kebimbangan dalam kalangan orang-orang Ma Lanyu. Kehilangan Pa Lawan dan rombongan telah mendapat perhatian Pa Long yang menjaga kapal layar. Sukar untuk percaya, andaian yang Pa Lawan telah sesat. Di laut pun tidak boleh sesat, masakan pula di darat. Pada malam hari pun, Pa Lawan tidak akan sesat. Dia akan memanjat pokok sehingga ternampak langit dan bintang-bintang. Di langit, ada peta menunjuk arah. Dia tidak bakal sesat kecuali dia cedera atau mati. Tetapi, itu semuanya tidak terfikir oleh Pa Long. Malah, dia ada Pa Natang yang cukup mahir selok-belok hutan. Pa Natang, sepertinya juga, ialah pengikut setia.
Mereka sanggup menggadaikan nyawa demi Pa Lawan.
Pa Long memerintahkan semua orang di penempatan sementara untuk kembali ke kapal layar. Keesokan harinya, dia bersama-sama lima orang awak-awak masuk ke hutan, cuba mengekori jejakjejak yang ditinggalkan oleh Pa Lawan dan rombongannya ketika memasuki hutan.
Pada masa yang sama, Puteri Ines tidak dapat membendung rasa cintanya pada Pa Lawan. Secara curi-curi, dia mengunjungi Pa Lawan di kurungan. Puteri Ines tahu satu demi satu, lelaki-lelaki Ma Lanyu itu akan dibunuh setelah upacara sanggama. Ini pasti termasuk Pa Lawan. Malah, Pa Lawan akan menjadi orang pertama yang akan dikorbankan. Demi cintanya kepada Pa Lawan dia sanggup berbuat apa sahaja. Bukan mempertaruhkan nyawanya, tetapi mengakhiri hayat Ratu Binus. Di mata Pengkhayal, pembunuhan itu menjadi kenyataan apabila puteri Ines membunuh tuhan Venus asalan Zaman Ais terakhir dengan memasukkan racun tuba ke dalam air nyiur kegemaran Ratu Binus. Berakhirlah suatu matriarki sempurna dari bumi manusia. Namun, tidak selama-lamanya, kerana bagi Pengkhayal bibit-bibit kepupusan lelaki sudah bermula di alam nyatanya. Dalam ribuan tahun kemudian pulalah kaum lelaki akan pupus abadi dari muka bumi ini. Pengkhayal berfikir, pemendekan kromosom Y akibat mutasi sudah mulai dikesan. Matriarki separa dan sempurna bermunculan semula.
Setelah membunuh ibunya, Ratu Binus, dia mengisytiharkan dirinya sebagai Ratu Ines dan Pa Lawan bergelar Laki Ratu. Dan, untuk menghormati percintaan mereka, Ratu Ines menamakan pulau itu sebagai Pulau Palawan.
Apabila Pa Long menemui Gua Tabon, Pa Lawan tidak mengalami kecederaan mahupun sesat. Malah, dia ditabalkan menjadi Laki Ratu suatu pangkat yang sebelum itu tidak wujud.
Orang-orang Ma Lanyu yang masih bujang berkahwinlah mereka dengan wanita-wanita Gua Tabal yang bertetek satu. Anak-anak perempuan yang dilahirkan tidak lagi dipotong payu dara kanannya kerana hanya menginginkan mereka menjadi pemanah yang tepat, dan anak-anak lelaki tidak pula dibunuh tatkala lahir. Hiduplah mereka aman damai dan beranak pinak yang mempunyai aspirasi menjadi pelaut yang bakal menakluki Laut Selatan dan menemui Negeri di Bawah Bayu.