Lumpur ialah orang akan keluar makan dan membeli belah pada lewat malam. Ini juga salah satu perkara yang aku susah hendak faham. Kau fikirlah ya, bermula jam 9 malam barulah lokasi-lokasi bazar larut malam ini akan dibuka di lokasi tertentu. Awal-awal dahulu uptown cuma ada satu tempat sahaja iaitu di Damansara Petaling Jaya.
Seluruh kawasan di situ akan penuh dengan peniaga dan pengunjung yang entah datang dari mana Begitu banyak sekali barang jualan yang ditawarkan oleh peniaga. Tak kurang juga yang menjual makanan dan minuman di situ. Aku semakin hairan dan susah mahu hadam bagaimana ini boleh berlaku.
Masih ingat Mad Pon
Super senior aku di UIA. Dia inilah yang banyak tunjukkan kepada aku lokasi-lokasi bisnes jalanan popular di sekitar Kuala Lumpur. Dia jugalah yang bertangungjawab mengajar aku tentang uptown. Setiap kali ke sana, kami bukan beli apapun. Saja suka berjalan tengok awek, tengok jam, tengok spek mata hitam, tengok orang menyanyi di tepi jalan dan selepas berkali-kali tawaf satu uptown, biasanya Mad Pon cuma beli pengilap tayar kereta Perodua Kancilnya dan secawan air sirap. Kah kah kah.
Langkah kanan aku berniaga di bazar larut malam ini bermula dengan tidak sengaja apabila aku mengenali seorang penjual alat ganti kereta bernama Amir. Beliau orang pertama yang mengajak aku sama-sama berniaga di uptown. Pada waktu itu aku dengar ada khabar angin yang kuat mengatakan bahawa Uptown Petaling Jaya akan ditutup oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana terima banyak aduan daripada penduduk setempat. Masalah parking, kecurian, kesesakan jalan dan bunyi bising sehingga Subuh adalah antara perkara yang mereka adu. Dan akhirnya berita yang aku dengar ini memang sahih, maka para peniaga di situ perlu mencari lokasi baharu. Maka selepas episod inilah wujudnya Uptown Danau Kota di Setapak. Kau tahu kan lokasinya di mana
Untuk mendapat tapak berniaga di situ, kami perlu membuat cabutan undi di DBKL. Bukan senang woi hendak dapat tapak berniaga di uptown. Persatuan Peniaga di uptown yang lama juga mula melobi untuk mendapat kuota khas. Kita yang baru-baru ini perlu cuba nasib sahaja dengan mengisi borang. Aku dan Amir turun naik DBKL berkali-kali juga untuk mendapatkan tapak dan kami hampa apabila diberitahu kami tidak terpilih. Aku tak berputus asa di situ, aku bersungguh-sungguh mengajak Amir pergi ke Danau Kota pada hari pertama ia dibuka untuk meninjau peluang. Manalah tahu kalau ada pemilik tapak yang tak mahu berniaga dan berminat untuk menyewakan tapak mereka. Usaha kami berhasil, aku dan Amir dapat sebuah tapak. Tuannya mahu sewakan saja kepada kami dengan kos sebanyak RM400 sebulan, pada waktu itu.
Esoknya, aku dan Amir terus saja mencari barang-barang keperluan berniaga di beberapa kedai potong (baca: kereta potong) di sekitar Kepong dan Klang. Penuh kereta AD Resort milik Amir dengan barang-barang alat ganti kereta. Kebanyakannya adalah alat ganti kereta Perodua Kancil dan Wira. Pada waktu itu, menjadi trending dalam kalangan pemilik kereta Perodua Kancil untuk menaik taraf kepada model Daihatsu Mira dan pemilik kereta Wira pula menaik taraf kepada Mitsubishi Lancer. Sekarang kau faham kenapa aku pakai Perodua Kancil, kan Orang Malaysia sangat unik, aku rasa kalau orang Jepun datang Malaysia dia pasti teruja dengan kepantasan orang kita menyalin semula teknologi tempatan kepada versi original dari Negara Matahari Terbit itu.
Aku dengan Amir bukannya banyak modal sangat tapi aku percaya dia boleh buat bisnes ini bersama-sama sebab dia memang bekerja di kedai potong kereta. Waktu itu, Amir baru sahaja berkahwin dan mempunyai seorang anak kecil. Siang dia bekerja di bengkel dan sebelah malamnya kami sama-sama menjual di uptown. Aku pula Aku ada kelebihan untuk memasarkan barang yang kami jual kerana aku ahli Kelab Pemilik Perodua Kancil yang aktif juga pada waktu itu. Ada banyak forum dalam talian seperti kcarlife.com dan ACFK untuk kami pemilik Perodua Kancil bersosial. Di sana jugalah tempat untuk aku melakukan kerja-kerja pemasaran bagi menarik minat mereka datang ke tapak jualan kami di Uptown Danau Kota. Nampak Kalau kau hendak harapkan orang lalu lalang semata-mata memang tak boleh. Masa berniaga, kau mesti tahu siapa pelanggan sasaran dan rakus membuat kerja-kerja pemasaran.
Barang jualan kami cepat habis. Bermula dengan hamparan kanvas di atas lantai sahaja kerana tidak ada cukup modal untuk membeli meja, kini kami sudah mampu ambil stok niaga dengan lebih banyak. Habis kami usung ke uptown termasuklah rim sukan, radio pemain cakera padat, cermin sisi automatik, antena original Daihatsu Mira dan Lancer. Semakin hari semakin banyak dan semakin meriah. Jualan kami pernah mencecah ribuan ringgit sehari dengan menjual aksesori dan alat ganti terpakai. Orang memang mahu beli kerana ia dalam kategori barangan terhad dan original Made in Japan. Dalam kalangan pemain kereta, siapa yang ada barangan rare pada keretanya, mereka adalah King! King of Japan Domestic Model (JDM).
Dari kisah uptown inilah aku menjadi semakin seronok berniaga di jalanan. Dari sini jugalah aku kenal ramai kawan-kawan baru yang turut sama minat berniaga. Kawan satu kampus aku, namanya Zack juga berniaga di hadapan tapak aku dengan menjual aksesori telefon. Pada waktu itu, Zack, Yus dan Hairi akan melonggok pelbagai jenis aksesori telefon dan menjual dengan harga sepuluh ringgit. Sekarang aku sudah lama tak jumpa Yus dan Hairi. Aku tak pasti apa yang mereka niagakan sekarang. Zack jadi engineer berjaya di Miri Sarawak. Kali terakhir sewaktu aku berjumpa Zack di Hotel Concorde Kuala Lumpur, beliau banyak berubah. Tutur kata dan isi perbualan kami tidak seperti dahulu lagi. Kami juga ada menjalinkan beberapa kerjasama dalam perniaagan. Judin, kawan baik kami di UIA dulupun sudah berjaya dalam bidang Oil and Gas.
Siapa sangka woi Dulu kami berhempas pulas berniaga di uptown dari lepas Maghrib sampai ke Subuh demi mencari sebuah pengalaman dan meneruskan hidup di Kuala Lumpur. Mak ayah akupun tak tahu cerita ini, harapnya mereka tak marah aku bila baca kisah anak sulungnya berniaga di Kuala Lumpur ketika masih bergelar pelajar. Bermula dari sini, aku mula memanjangkan langkah dengan lebih serius dalam bidang jualan terutamanya aksesori kereta dan pakaian wanita. Bila tiba musim perayaan, aku akan ambil beberapa tapak baru untuk menjual baju kurung dan tudung. Semua stok jualan aku ambil daripada Abang Dolah, aku tak keluar modal barang selepas mendapat kepercayaan pembekal. Bijak, kan
Di sebalik kisah Amir dan aku, sebenarnya aku amat merindui beliau. Kami lost contact selepas membawa haluan masing-masing dan kali terakhir aku mendapat khabar Amir sudah meninggal dunia kerana kanser otak. Beginilah kehidupan. Yang hidup pasti akan mati dan kita semua juga akan menemui mati yang entah bila tercatat untuk kita. Marilah kita sama-sama sedekah al-Fatihah dan mendoakan arwah Amir, semoga beliau diampunkan dosa dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.
Aku rindu kau Amir, jumpa lagi di sana nanti. Amin.