TORA DATANG LAGI - 92
Bertukar biodata merupakan sejenis aktiviti bukan-bukan tetapi sangat fun untuk dilakukan. Ianya adalah perbuatan menulis butiran maklumat tentang diri sendiri untuk dikongsikan dengan individu lain. Ia hanya akan terjadi apabila terdapat individu-individu yang ingin memulakan perkenalan ataupun hendak berpisah.

Biodata selalunya diisi dengan maklumat umum seperti nama, umur, tarikh lahir, tempat lahir, cita-cita dan juga maklumat tambahan seperti makanan atau minuman kegemaran, artis kegemaran, kenangan pahit dan manis dan banyak lagi. Dibawah setiap biodata akan diletakkan katakata semangat atau ucapan berserta tandatangan yang baru sahaja direka ketika itu.

Walaupun sama, terdapat perbezaan ketara di antara bertukar biodata sewaktu hendak berkenalan atau berpisah. Ketika hendak berkenalan, biodata selalunya sekadar ditulis di atas sekeping kertas buku tulis dengan hiasan pun sekadar yang perlu. Biodata ketika hendak berpisah pula adalah lebih bersepah dan dibuat bersungguh-sungguh.

Sebelum berpisah, setiap orang akan membeli buku tulis jenis kulit keras untuk dijadikannya buku biodata masingmasing. Pada muka surat paling awal akan diisi biodata pemilik buku itu sendiri. Ianya akan dihias sebaik mungkin bagi menjadi contoh dan dorongan kepada setiap yang melihat kemudian.

Buku ini akan diserahkan kepada setiap rakan untuk diisi biodata masing-masing pada mana-mana muka surat pilihannya mengikut giliran masing-masing. Setiap biodata akan dihias pen dengan dakwat yang berwarna-warni, lukisan-lukisan, pelekat-pelekat dan ayat-ayat yang kreatif. Terdapat juga yang turut melekatkan foto gambar untuk dijadikan sebagai kenangan. Pada bahagian muka akan dilukisan bentuk hati ngam-ngam besar kepala selalunya.

Sesetengah yang paling mengada akan membakar sedikit bahagian tepian kertas bagi memberikan kesan purba konon-kononnya. Entah apa yang seni dan purbanya tidaklah diketahui langsung.