TORA DATANG LAGI - 93
Cortal merupakan sejenis jenama ubat demam untuk kanak-kanak. Ianya berbentuk bulat kecil berwarna kuning dan mempunyai rasa yang manis. Ubat ini dijual di dalam kotak dengan gambar sejenis makhluk sedang memegang pedang dan bersedia hendak melawan. Pada bahagian dada makhluk tersebut terdapat tulisan Cortal. Beberapa papan Cortal dimasukkan di dalam 1 kotak dan sepapan Cortal memuatkan sehingga 12 tablet.

Cortal boleh berbangga dengan rekod peribadi kerana berjaya menjadi satu-satunya ubat yang berjaya menongkah mitos peradaban yakni ubat tidak digemari oleh kanakkanak. Selain saiznya yang mudah ditelan, ianya juga sedap betul sama ada dikemam dan dipepah. Sedapnya ubat ini sehinggakan sebilangan kanak-kanak yang amat berharap untuk jatuh demam supaya dapat menikmatinya.

Ubat Cortal selalunya akan dibeli ibu bapa dan disimpan untuk kegunaan ketika kecemasan. Ibu bapa akan memastikan ubat ini disimpan di ditempat yang tidak diketahui ataupun tidak tercapai oleh kanak-kanak. Ubat Cortal yang tidak berjaya disembunyikan lalu dijumpai akan dimakan curi-curi tanpa pengetahuan ibu bapa.