Warna air jenis pes adalah pes-pes warna yang dimasukkan di dalam tiub dan disusun memanjang di dalam bekas. Antara jenama yang popular digunakan adalah Panda. Jenama Panda bukanlah jenama yang sebenarnya kerana dipercayai nama ini hanya timbul kerana terdapatnya hiasan gambar seekor panda pada kotak warna air ini.
Untuk menggunakan warna air jenis pes, pes perlu dipicit keluar ke dalam lubang-lubang pada sekeping bekas warna dan dicampur dengan air. Warna yang terhasil dari campuran pes dan air kurang memuaskan apabila diwarnakan pada kertas. Selain warna yang tidak jelas, ianya juga mudah merosakkan kertas.
Selain itu, warna air jenis pes juga sangat mudah mengeras apabila dibiarkan terdedah pada udara kerana tiub tidak ditutup dengan sempurna. Penutup tiub akan sukar dibuka apabila pes mengeras.
Sementara itu pula, warna air jenis botol adalah cairan warna yang dimasukkan di dalam botol plastik dan disusun memanjang di dalam kotak. Antara jenama yang popular digunakan adalah Buncho.
Jika warna air botol mengeras, pengguna hanya perlu memasukkan sedikit air ke dalam botol warna air yang keras tadi. Air akan dikacau-kacau sehingga warna air mencair. Oleh kerana warna air jenis ini adalah lebih memuaskan, pastinya ia adalah lebih mahal berbanding harga warna air pes.