Antara petua bagi memperdayakan semut hitam di dalam lubang adalah dengan membasahi hujung batang kemuncup dengan air liur. Batang kemuncup akan ditinggalkan di dalam lubang untuk seketika. Batang kemuncup yang bergerak-gerak menandakan ada semut hitam yang telah termakan umpan. Dengan pantas, batang kemuncup akan ditarik keluar dari lubang.
Semut hitam yang berjaya ditangkap akan segera dicabut sesungutnya bagi mengelakkan ia lari melepaskan diri. Semut hitam tanpa sesungut bolehlah diibaratkan seperti manusia tanpa mata atau basikal tanpa hendel. Selain itu, semut yang tidak dicabut sesungutnya akan degil untuk berlaga.
Untuk memulakan perlawanan, kedua ekor semut hitam akan digumpalkan dengan menggunakan jari. Selepas keduanya telah menjadi satu, semut hitam akan dilepaskan ke atas tanah. Jika dilihat secara teliti, pergerakan semut hitam ini berentap saling tidak tumpah seperti manusia sedang bergusti. Dengan penuh kekejaman, semut-semut hitam akan saling menggigit dan memutuskan anggota lawan masing-masing.
Selepas beberapa minit, semut yang masih berupaya untuk bergerak akan dikira sebagai juara. Tanpa sebarang hadiah diperolehi, semut tadi diambil dan dibaling ke dalam semak atau dipijak ibarat habis madu sepah dibuang.