TORA DATANG LAGI - 97
Luna merupakan sejenis pensel warna yang paling popular digunakan. Ianya dikeluarkan oleh Staedtler. Pensel warna Luna diakui ramai sebagai pensel warna yang paling berkualiti dan jelas warnanya. Rasanya tiada siapa yang membesar pada ketika itu tidak mengenali pensel warna Luna.

Terdapat pelbagai saiz pensel warna Luna yang dikeluarkan. Ianya diukur mengikut jumlah batang pensel warna di dalam setiap kotak. Terdapat di dalam saiz 12 batang, 24 batang, 36 batang dan juga 48 batang. Antara saiz yang paling popular adalah 12 batang. Untuk saiz 12 batang, Staedtler mengeluarkannya di dalam 2 versi iaitu versi batang pendek dan versi yang lebih panjang.

Pensel warna ini disusun di dalam bekas dengan hiasan lukisan geometri sebuah perahu layar kecil, sebuah perahu layar besar dengan 2 orang manusia sedang menaikinya. Juga terdapat sebuah bulan sabit di dada langit. Setiap pensel warna disusun mengikut turutan warna iaitu putih, kuning, jingga, merah muda, merah tua, biru muda, biru tua, ungu, hijau muda, hijau tua, coklat dan hitam.

Yang menjadi misteri, bagaikan menjadi satu dosa jika tidak menyusun kembali pensel warna yang digunakan mengikut turutan asalnya. Pensel warna yang disusun mengikut turutan warnanya akan mewujudkan perasaan sempurna dan harmoni pada tuan pensel warna.

Rasanya Staedtler sendiri menyedari bahawa pensel warna putih paling jarang atau tiada langsung sebarang fungsi sebenarnya di dalam sekotak pensel warna tetapi entah mengapa ianya masih dikekalkan sehinggalah sekarang. Tanpa niat mahu menyalahkan sesiapa, tetapi warna putih ni sebenarnya nak warnakan benda apa!