14 lubang anak dan 2 lubang ibu akan dikorek di tanah menyerupai susunan pada papan congkak. Kedalaman dan diameter lubang adalah ditentukan sendiri mengikut kemahuan, keselesaan dan selera masing-masing. Lokasi pilihan lubang yang hendak dikorek ini selalunya dipilih berdasarkan faktor tanah dan cuaca. Tanah yang sesuai adalah dari jenis yang tidak berpasir dan cukup solid manakala lokasi feveret dipilih selalunya di bawah pokok yang rendang dan lebat daunnya supaya dapat berlindung dari panas matahari. Jika kena pada waktu berbuah, dapat juga mengunyah sambil bermain.
Dua ketul batu leper atau bata akan diletakkan bersebelahan dengan congkak tanah bagi dijadikan alas duduk. Oleh kerana hendak mengelak buah congkak disebat manamana mangkuk, biji atau buah getah digunakan sebagai buah congkak bagi menggantikan guli. Jika biji getah juga dicuri, entah pencuri jenis apalah yang terdesak sebegitu.
Permainan congkak tanah akan dimainkan dengan peraturan dan cara-cara bermain congkak tradisional seperti yang biasa. Setakat tanah dan telur cacing masuk celah kuku tu biasa la.